Sunday, July 25, 2010

'Terpaksa bermalam dalam kereta'

KENINGAU 23 Julai - Kejadian penduduk kampung yang terpaksa bermalam dalam kereta selepas kenderaan mereka rosak atau tersangkut dalam lumpur bukan baru bagi penduduk di 11 buah kampung termasuk Kampung Lumiri Tengah di sini.

Malah, menurut Ketua Kampung Lumiri Tengah, Laumin Bintang, orang sakit tenat dan memerlukan rawatan segera di hospital juga pernah bermalam di dalam kereta gara-gara kereta rosak selepas gagal melalui selut dan lumpur di sepanjang jalan tersebut.

''Kalau nasib baik ada orang lalu, mungkin kita boleh mendapatkan bantuan tetapi selalunya tidak ada. Jadi terpaksa bermalam jika kereta sudah tersadai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau menambah, penduduk kampung tidak mempunyai pilihan lain kerana jalan tersebut merupakan satu-satunya jalan perhubungan mereka ke pekan-pekan besar seperti Keningau, Sook dan Nabawan.

Katanya, walaupun persediaan rapi sudah diambil sebelum memulakan perjalanan, namun peluang untuk ditimpa masalah adalah besar kerana kerosakan jalan tersebut.

Laumin berkata, salah satu cara yang boleh menyelesaikan masalah ini segera adalah dengan mempercepatkan cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) meneroka tanah di kawasan tersebut.

Cara itu katanya, bukan sahaja akan membawa pembangunan di kawasan tersebut tetapi membolehkan jalan masuk ke kawasan itu dibaiki dan diselenggara.

''Penduduk tidak ada halangan jika LTKNS hendak meneroka kawasan ini kerana selain memberi sumber ekonomi kepada penduduk ia sekali gus membolehkan jalan raya yang ditinggalkan oleh syarikat pembalak itu diselenggarakan.

"Ini adalah antara jalan penyelesaian selain kerajaan mewartakan jalan balak tersebut bagi membolehkan ia diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Beliau menambah, kerajaan perlu menyelesaikan masalah itu segera bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan isu jalan berkenaan sebagai modal politik dan kepentingan peribadi mereka.

No comments: