Friday, July 23, 2010

Muhiddin gesa guru pedalaman komited terhadap tanggungjawab

 
RASMIKAN... Muhiddin memecahkan ketulan air (air batu) untuk mendapatkan plug Hari Guru, sambil diperhatikan oleh Raisin (kiri), Sahumin (dua dari kanan) Guru Besar SK. Jaya Baru Musa Numan. 
 
22nd July, 2010
 
KENINGAU: Pengarah Pelajaran Sabah Dr. Haji Muhiddin Yusin menggesa guru-guru di kawasan pedalaman supaya komited dalam tanggungjawab mereka sebagai warga pendidik.
Katanya sebagai warga pendidik, mereka perlu berada dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

“Kita tidak mahu terdapat guru-guru yang berada di luar untuk urusan yang lain pada masa yang sepatutnya mereka berada di kelas,” kata Muhiddin semasa berucap merasmikan Perayaan Hari Guru Ke-39 Peringkat Daerah Keningau 2010 yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Panglima Lee Sin Sekolah Menengah (SM) Ken Hwa dekat sini kelmarin.

Pengarah Pelajaran Sabah itu berkata, sejak akhir-akhir ini terdapat murid di kawasan pedalaman yang tidak dapat menguasai 3M walaupun telah menghabiskan masa untuk belajar di sekolah rendah.

Masalah inilah katanya yang perlu diatasi dan cabaran bagi guru-guru yang berkhidmat di sekolah-sekolah terpencil di kawasan pedalaman.

“Pada zaman dahulu katanya, semua murid di sekolah rendah dapat menguasai 3M walaupun pada ketika itu guru-guru yang mengajar mereka hanya lepasan sekolah rendah,” jelasnya.
Tetapi pada masa ini katanya, terdapat murid di beberapa sekolah khususnya di kawasan pedalaman tidak dapat mengusai 3M.

“Perkara ini perlu diambil perhatian dengan serius supaya semua murid di sekolah rendah dapat menguasai 3M,” tegasnya.

Muhiddin dalam ucapannya turut menekankan supaya guru-guru mempertahankan profesion perguruan yang disanjung tinggi dan dianggap mulia oleh masyarakat.

Katanya, jika guru-guru tidak mempertahankan sanjungan tinggi yang mulia ini maka ia akan menjadi rendah dan tidak lagi disanjung oleh masyarakat umum.

Menurut Muhiddin guru adalah ibarat payung, tongkat, lampu dan loceng penggera yang memainkan peranan penting masing-masing.

Dalam masa yang sama, Muhiddin meminta guru-guru supaya membina hubungan yang lain kepada mana-mana jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

Katanya, dengan adanya hubungan baik di kalangan jabatan kerajaan dan pemimpin-pemimpin masyarakat ia akan membantu pembangunan pendidikan di negeri ini khususnya di kawasan di mana guru-guru ditempatkan.

Sempena dengan perayaan hari guru peringkat daerah Keningau itu, bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sekolah-Sekolah Jabatan Pelajaran Sabah Abd. Karim E. Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Guru Daerah Keningau bagi tahun 2010.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Karamatoi Lasmin Majani dan Guru Besar SK. Nandagan Sakim Ibrahim masing-masing menerima Anugerah Bakti Pedalaman.
Guru Besar SK. Binakaan Japinin O.T Giging pula menerima Anugerah Pemimpin ICT dan diikuti oleh Chin Shu Ken dari SK. Pasir Puteh sebagai penerima Anugerah Guru ICT.

Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Pensyarah Inovatif masing-masing sandang oleh Ouu Chu Suan dari SM Ken Hwa dan Thadius Gugau dari IPG Kampus Keningau.

Manakala SM Teknik Keningau dan SRJK Yuk Kong masing-masing menerima Anugerah Pusat Sumber kategori sekolah menengah dan rendah.

Berucap sama di majlis itu Pegawai Pelajaran Daerah Keningau Raisin Saidin dan Pengetua SMK Bingkor Sahumin Hj. Daud selaku pengerusi perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Keningau.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah Tambunan Haji Kaipin Rosmin, Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan Osman Aganduk, Pengerusi Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Daerah Keningau Rosdi Padiman, pengetua-pengetua dan guru-guru besar.

No comments: