Sunday, July 25, 2010

Penduduk resah jalan rosak

Oleh SAPURAH LIYUNAN
utusansabah@utusan.com.my


Kenderaan melalui jalan berbecak bagi membawa penduduk kampung ke pekan Keningau dan pekan berhampiran. 
 
 
KENINGAU 23 Julai - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah realiti hidup yang perlu ditempuhi oleh penduduk di beberapa kampung yang berdepan kesukaran untuk ke pekan-pekan utama seperti Keningau, Sook dan Nabawan.

Bukan kerana tiada duit atau kesempitan hidup tetapi keadaan jalan yang rosak, becak dan berlumpur menyebabkan perjalanan mudah itu menjadi sukar.

Selain jalan, infrastruktur lain seperti jambatan yang turut rosak menyebabkan kehidupan penduduk hampir terputus dengan dunia luar.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Bonor, Lumiri Tengah, Pengaraan, Pohon Batu A, Pohon Batu B, Sumbiling, Binanun, Nangkawangan, Lumiri Tengah, Mamagun dan Likowon.

Bagi penduduk yang tidak sanggup menunggu tindakan daripada pihak berkuasa yang tidak kunjung tiba, mereka nekad mengadakan gotong-royong membaiki jalan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bonor, Ampalit Angimun (gambar), sekurang-kurangnya tindakan itu membolehkan mereka terus bergerak dari kampung ke pekan utama melakukan rutin harian.

"Namun kerja-kerja pembaikan dengan tenaga manusia tidak bertahan lama kerana keadaannya tidak stabil. Tetapi, apa lagi yang boleh kami lakukan, itu sahaja kemampuan kami.

"Jika kami tidak cuba menyelesaikan masalah ini, siapa lagi," tegasnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ampalit berkata, selain penduduk kampung, jalan rosak itu menyukarkan warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bonor menunaikan tanggungjawab mereka.

Selain SK Bonor, beberapa buah sekolah lagi mengalami masalah yang sama adalah SK Pengaraan, SK. Pohon Batu, SK. Binanun, SK. Nangkawangan dan SK. Mamagun.

Katanya, guru-guru sukar membawa barang keperluan serta peralatan mengajar kerana kenderaan pengangkutan awam enggan masuk ke kawasan itu akibat jalan rosak.

"Perkhidmatan Jabatan Kesihatan Bergerak yang sebelum ini mengunjungi kampung itu mengikut jadual kini tidak lagi dapat menjalankan perkhidmatan berikutan kerosakan jalan raya yang dibina syarikat pembalak itu," katanya.

Ampalit memberitahu, beberapa tahun lalu semasa aktiviti pembalakan masih aktif di kawasan itu jalan raya berkenaan sentiasa diselenggara.

Namun katanya, apabila pembalakan tidak lagi aktif, jalan raya yang menjadi laluan utama penduduk kampung semakin teruk dan kini sukar dilalu oleh kenderaan kecuali pacuan empat roda.

Katanya, walaupun syarikat pembalakan itu menggunakan laluan tersebut sekali sekala, tetapi mereka tidak menyelenggara jalan raya berkenaan.

Sebagai Pengerusi JKKK, beliau sering didesak oleh penduduk kampung untuk mengemukakan masalah itu kepada pihak-pihak yang berkenaan.

"Justeru itulah saya terpaksa menyuarakan masalah ini melalui akhbar. Saya merayu kerajaan mewartakan jalan ini sebagai jalan negeri atau persekutuan bagi membolehkan peruntukan disalurkan," katanya.

Katanya lagi, sejak kebelakangan ini, penduduk kampung itu sering disogokkan dengan janji oleh pemimpin-pemimpin di kawasan itu bahawa masalah itu akan diatasi.

Bagaimanapun tambahnya, sehingga kini belum ada sebarang tindakan yang diambil menyebabkan penduduk kampung mengeluarkan kata-kata sumbang terhadap kerajaan.

Sementara itu, Ketua Kampung Lumiri Tengah, Laumin Bintang berkata, penduduk di sekitar daerah itu sebenarnya menggadaikan nyawa mereka apabila melalui jalan tersebut.

Ini kerana, katanya, selain melalui jalan rosak, mereka perlu melalui jambatan kayu buatan sendiri yang hampir roboh.

''Hanya orang berpengalaman boleh melalui jambatan itu. Silap sedikit, akan menyebabkan kereta jatuh ke dalam parit berkenaan dan mungkin nyawa melayang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan bertindak mengatasi masalah yang menjadi mimpi ngeri kepada lebih 3,000 penduduk di 11 kampung sekitar kawasan itu.

No comments: