Friday, July 23, 2010

Berita dari Bonor


23rd July, 2010
KENINGAU: Lebih berat mata memandang berat lagi bahu memikul begitulah hakikatnya bagi penduduk Kg. Bonor yang terpaksa bertungkus lumus bergotong-royong membaiki jalan raya ke kampung mereka yang kini rosak teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Bonor Ampalit Angimun berkata, berikutan kerosakan jalan raya yang dibina oleh syarikat pembalakan beberapa menyulitkan penduduk kampung apabila keluar berurusan ke pekan Keningau, Sook dan Nabawan.

Katanya, penduduk terpaksa berhempas pulas bergotong-royong untuk membaiki dan membuat laluan alternatif kenderaan kerana tiada pilihan lain apabila keluar ke pekan untuk mendapat keperluan harian.

“Namun kerja-kerja pembaikan dengan tenaga manusia tidak bertahan lama kerana keadaannya tidak stabil. Tetapi apa yang hendak dibuat itulah kemampuan kami,” kata Ampalit kepada New Sabah Times di sini, kelmarin.

“Inilah masalah yang dihadapi oleh penduduk sejak jalan raya rosak,” jelas Ampalit.
Ampalit berkata, selain penduduk kampung yang mengalami masalah, warga pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bonor turut mengalami masalah itu.

Menurut Ampalit, selain SK Bonor, beberapa sekolah lagi mengalami masalah yang sama seperti SK Pengaraan, SK. Pohon Batu, SK. Binanun, SK. Nangkawangan dan SK. Mamagun.
Katanya, guru-guru sukar membawa keperluan mereka dan peralatan sekolah juga sukar dibawa masuk kerana kenderaan pengangkutan awam enggan masuk ke kawasan itu.
“Perkhidmatan Jabatan Kesihatan Bergerak yang sebelum ini mengunjungi kampung ini mengikut jadual kini tidak lagi dapat menjalankan perkhidmatan mereka berikutan kerosakan jalan raya yang dibina syarikat pembalak itu,” tambah Ampalit.

Ampalit memberitahu, beberapa tahun yang lalu semasa aktiviti pembalakan masih aktif di kawasan itu jalan raya berkenaan sentiasa diselenggara.

Namun katanya, apabila pembalakan tidak lagi aktif jalan raya yang menjadi laluan utama penduduk kampung semakin teruk dan kini sukar dilalu oleh kenderaan.

Katanya, walaupun sekali sekala syarikat akan muncul di kawasan itu pada masa ini tetapi mereka tidak menyelanggara jalan raya itu.

Ampalit berkata, sebagai Pengerusi JKKK beliau sering didesak oleh penduduk kampung untuk mengemukakan masalah itu kepada pihak-pihak yang berkenaan.

“Justeru itulah saya terpaksa menyuarakan masalah ini melalui akhbar,” katanya sambil merayu kepada kerajaan menyenaraikan jalan raya tinggalan syarikat pembalak itu sebagai jalan raya kerajaan sama ada jalan negeri atau jalan Persekutuan.

Katanya lagi, sejak kebelakangan ini penduduk kampung itu sering disogokkan dengan janji oleh pemimpin-pemimpin di kawasan itu bahawa masalah itu akan diatasi.

Tetapi sehingga kini katanya, belum ada apa-apa tindakan yang diambil menyebabkan penduduk kampung mengeluarkan kata-kata yang sumbang terhadap kerajaan.

Kampung-kampung lain yang terbabit dalam masalah itu adalah Kg. Pengaraan, Kg. Pohon Batu A, Kg. Pohon Batu B, Kg. Sumbiling, Kg. Binanun, Kg. Nangkawangan, Kg. Lumiri Tengah, Kg. Mamagun dan Kg. Likowon.

No comments: