Thursday, August 12, 2010

KPPK gesa pengeluaran garis panduan peraturan sekolah dipercepat

12th August, 2010
 
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) kelmarin menggesa Kementerian Pelajaran mempercepatkan pengeluaran Garis Panduan Peraturan Sekolah yang baru bagi melindungi guru berikutan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

Setiausaha Agongnya Lok Yim Pheng berkata perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, kesatuan guru, para akademik dan ibubapa pada 2007, namun, masih belum menerima maklum balas mengenainya.

“Garis Panduan Peraturan Sekolah telah dibincangkan lama dulu, tetapi sehingga kini, masih belum siap dan kami masih lagi menunggu,” katanya kepada Bernama kelmarin.

Bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kian meruncing, Lok berkata pihaknya berpendapat lebih ramai guru lelaki diperlukan dan jawatan Ketua Guru Disiplin di setiap sekolah, dijadikan sebagai jawatan baru untuk kenaikan pangkat.

“Bagi melayakkan diri, setiap guru dengan kelayakan DG44 boleh dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut bagi sekolah menengah dan DG32 bagi sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai persediaan, beliau berkata mereka yang ditawarkan ke jawatan itu perlu menghadiri latihan intensif dalam aspek undang-undang dan cara menangani masalah disiplin sebelum mula bertugas.
Lok juga berkata pihaknya mencadangkan agar kuasa merotan pelajar diberikan semula kepada guru bagi mengawal pelajar yang mempunyai masalah disiplin kronik.

“Syarat boleh diletakkan, tetapi kuasa merotan perlu dipulangkan semula bagi memudahkan kawalan terhadap segelintir pelajar “tegar” yang kerap menimbulkan masalah di sekolah,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting diberikan perhatian untuk melindungi golongan pendidik berdasarkan tindakan “berani” segelintir pelajar pada mutakhir ini yang mencetuskan kebimbangan.

“Sebilangan pelajar kadangkala bertindak terlalu agresif sehingga mencederakan guru, khasnya guru wanita.

“Minggu lepas, seorang guru diserang oleh seorang pelajar yang bertindak agresif di Sarawak,” katanya.

No comments: